Kehidupan tidak selalu indah, meskipun keindahan tidak pernah sirna. Kehidupan juga tidak selalu dipayungi kegembiraan kerana kadang kala kesedihan tidak pernah jemu datang bertandang. Kehidupan juga sering disapa derita, namun jangan menidakkan bahagia. Kehidupan umpama langit yang tidak selalu cerah. Ketika berbicara soal kehidupan, sebuah peristiwa menyedarkan saya betapa beruntungnya saya berbanding orang lain, kerana betapa besarnya dugaan yang datang menerpa, masih ada insan lain yang diuji dengan dugaan yang lebih berat. Kisah seorang wanita bernama Yvonne Foong yang menjalani hampir 15 kali pembedahan untuk membuang tumor dalam badannya menyedarkan saya bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sesungguhnya, pada saat terakhir pun, jangan sesekali melepaskan harapan kerana kalau kita lepaskan, bermakna perjuangan sudah tamat.
Kehidupan di dunia ini laksana lautan yang jarang-jarang tenang. Airnya sentiasa beriak, bergelombang dan berombak. Kesusahan terletak dalam kemudahan, dan kemudahan pula selalu tersimpan dalam kesusahan. (Hamka)